Wednesday 22 June 2011

Aku Hamba Ilahi (Bahagian 1)


Bayu lembut berpuput. Kesegaran udara yang lembap ditambah dengan kicauan burung pada petang itu menambahkan ketenangan yang dirasai. Jarang ketenangan seperti itu membaluti dirinya. Sekali setahun belum tentu lega sepertimana dirasai sekarang bertandang dalam hidup Azzam. Bahagian belakang rumahnya menjadi tempat lepak dikala mahu mencari ketenangan. Atau tenang memenuhi diri. Seperdu pohon buluh yang sekarang sudah sebesar sepuluh pemeluk orang dewasa di seberang parit belakang rumahnya seringkali menjadi tempat kera bergayut. Mungkin kerana rimbun pohon berdekatan dan lenturnya setiap batang buluh, maka menjadi tempat lepak kera juga. Pernah dilihat Azzam akan kera berkampung di pohon-pohon buluh sewaktu banjir besar lima tahun dahulu. Sebatang pohon tualang tinggi berdiri betul-betul di hadapannya. Jika difikirkan, bila-bila masa sahaja pohon tersebut boleh menyembah bumi dan menghempap bahagian dapur rumahnya. Tetapi alhamdulillah sampai sekarang masih teguh terpacak di bumi. Sekali-sekala terserempak dengan biawak yang akan lari menyusup kedalam semak. Suasana itulah yang memberikan kedamaian jiwa kepada jiwa gundah Azzam sebelum ini. Kekadang bersahut pekikan dengan kera menambahkan kegembiraan kepada anak muda berusia 19 tahun ini.

            Senyum terukir dibibir apabila teringat kembali akan peristiwa pada dua minggu lepas. Peristiwa yang tidak akan dilupakan dalam hidupnya. Itulah yang mengubah hidupnya dan menjadikan segala angan-angan selama ini menjadi kenyataan. Teman rapatnya, Farid menjadi pembawa berita. Seluruh isi Dewan Kuliah 2 Kolej Matrikulasi Perlis menjadi saksi kepada peristiwa itu. Tidak dapat dilupakan. Malu ada. Syukur ada. Mana tidaknya, Azzam terus bangun dari kerusi dan menjerit kalimah syukur setelah dia berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat A-Level untuk ke luar negara, menyambung pengajian dalam bidang perubatan. Bidang yang menjadi impiannya selama ini.

“Hah, tu apa hal? Saya baru nak mengajar awak dah menjerit bagai kelas saya nak habis. Kelas saya tak best sangat ke?”, perli Puan Maznah, pensyarah Biologi. Berasal dari negeri Taman Serendah Sekebun Bunga membuatkan dia sentiasa berkias dan berlapik dalam tutur katanya.

Semua mata memandang ke arah Azzam. Kedudukan yang strategik, dibucu kanan barisan atas sekali, memudahkan seluruh isi dewan kuliah menatap. Tersentap kelas seketika. Sunyi dan sepi.

“Padahal ni kelas pertama saya, dah awak tak minat?”, soal Puan Maznah.

Farid yang duduk disebelah Azzam turut memandang dengan mata yang terbeliak. Terkejut macam tersampuk hantu. Mungkin dia tidak menyangka itu yang bakal berlaku.

“Tak adalah puan. Kelas puan best. Siapa kata tak best. Kalau tak dah lama kami semua tak datang ke kelas puan”, Azzam cuba hendak membodek untuk menutup malu. Semua pelajar didalam dewan kuliah ketawa.

“Jadi awak bersyukur sebab dapat pensyarah macam saya?”, soal pensyarah berusia lewat 40-an. Sinis sedikit nadanya.

“Memang bersyukur. Cuma... bukan sebab tu saya tersentap tadi”, Azzam semakin terkulat-kulat menjawab.

“Habis tu, apa dia?”, garang berbaur dalam soal kali ini.

“Err.. sebenarnya saya baru dapat tahu yang saya dapat offer dari MARA untuk buat medic kat oversea. Kawan saya yang kat sebelah ni tolong checkkan”, sambil menunjuk kearah Farid. 

Gelabah dan tak tentu arah Farid. Mungkin dia risau nanti dia akan dihukum sekali. Kalau tak kena marah, kena halau keluar dari dewan kuliah la jawabnya.

Suasana dewan kuliah sunyi seketika. Seperti malaikat melintas katakan. Tak kurang ada yang terlopong mendengarkan jawapan itu. Suara bisik-bisik kedengaran. Semakin lama semakin bingar dewan kuliah.

“Oh, patutlah gembira semacam jeritnya tadi.”, pintas Puan Maznah mematikan suara bisik rakan sekuliah. Senyum terlihat pada wajah wanita itu.

“Tahniah saya ucapkan. Wah, tak sangka pula ada bakal doktor dalam kalangan kita. Kawan awak kat sebelah tu pula macam mana?”, sambung Puan Maznah. Ditambah dengan nada gembira dan senyum membuatkan hati Azzam dan Farid lega. Tiadalah mereka dimarah atau dihalau keluar dari dewan kuliah kali itu.
“Dia pun dapat juga. Dia dapat buat IB kat Kolej Mara Banting”, jawab Azzam dengan gembira dan bangga.
“Tahniah kepada awak berdua. Semoga awak dapat menjadi seorang doktor yang berjaya nanti”. Ayat itu mengakhiri insiden yang berlaku. Kelas terus bersambung dan pelajaran terus diajar.

Seminggu selepas itu Azzam dan Farid pulang ke rumah masing-masing. Impian untuk menjadi pengamal perubatan semakin membara dalam diri mereka. Selangkah semakin dekat dengan gelaran “Doktor”.

            Selama ini Azzam hanya mampu mengimpikan untuk belajar perubatan dan menjadi seorang doktor. Doa tidak putus-putus dipohon kepada Rabb-nya. Siang malam mengharapkan impian tercapai dan doa dimakbulkan. Yakin akan diperkenankan permintaannya dikuatkan apabila dia teringat akan firman Allah Taala dalam surah Al-Mukmin, ayat ke-60,

“Dan Tuhanmu berfirman:”Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu...”

Alhamdulillah... Diperkenankan doa akhirnya.

Tidak putus-putus puji syukur kepada Tuhan sekalian alam. Doanya diperkenankan. Keyakinan semakin bertambah akan benarnya Allah itu Maha Pemberi. Memberi kepada yang meminta kepada-Nya. Sesungguhnya Allah Taala itu Maha Kaya, Maha Mendengar akan permintaan hamba-Nya, Maha Pemberi.

Alhamdulillah...


Ketenangan petang itu bermakna. Bermakna sebagai seorang hamba yang permintaannya selama ini ditunaikan. Permintaan yang akan mengubah hidupnya. Juga sebagai hamba. Hamba yang ada tempat bergantung dan meminta. Syukur menjadi hamba dan syukur permintaan ditunaikan. Syukur atas segala-galanya.


Kadang-kadang terfikir, adakah dia masih menjadi hamba yang mampu untuk bersyukur jika hajatnya tidak kesampaian. Mungkin sahaja dia menjadi seorang yang kufur, kerana satu sahaja permintaannya tidak diberikan walhal masih banyak lagi nikmat yang masih ada padanya. Nikmat sihat itu penting. Nikmat sebagai seorang Islam. Nikmat penglihatan. Nikmat mempunyai keluarga. Nikmat dapat hidup dengan lengkap anggota tubuh badan. Semuanya nikmat yang ada tetapi jarang disyukuri.


Alhamdulillah..


Alhamdulillah..


Alhamdulillah..