Thursday 9 June 2011

Disebalik Salam.

Assalamualaikum,

Itulah kalimah pembuka kata dalam suatu ucapan. Itu jugalah kalimah yang diucapkan oleh sesama muslim apabila bertemu dan berpisah. Kalimah itulah yang diucapkan apabila memasuki rumah. Tetapi adakah kita benar-benar menghayati akan maksud yang tersirat disebalik kalimah itu? Adakah kalimah itu nilainya hanya pada untuk mengenalkan diri atau sebagai pembuka kata?


Tuesday 7 June 2011

Penjelasan mengenai zikir selepas solat.


Assalamualaikum,

Saya ingin menyempurnakan sebahagian daripada tazkirah saya di Surau An-Nur pada minggu lepas, yang saya rasa saya tidak menjelaskan dengan sempurna akan zikir selepas solat kepada yang hadir dalam majlis tazkirah. Hal ini kerana saya berpendapat mungkin ada lagi dalam kalangan makmum yang masih tertanya-tanya kenapa ada waktunya selepas salam, tiada doa dibacakan oleh imam untuk diaminkan oleh makmum, apabila solat diimamkan oleh imam tertentu (antaranya saya sendiri).

Ada hadith shahih dari Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas ra. yang berbunyi :


إنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنَ الْمَكْتُوبَةِ كَانَ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

Sesungguhnya mengangkat suara dengan zikir setelah orang ramai selesai solat fardu berlaku pada zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam…

 al-Imam al-Syafi’i dalam kitab utamanya al-Umm berkata:[1]
وأختار للامام والمأموم أن يذكرا الله بعد الانصراف من الصلاة ويخفيان الذكرَ إلا أن يكون إماما يُحِبُّ أن يتعلّم منه فيجهر حتى يُرى أنه قد تُعُلِّمَ منه ثم يُسِرّ.
Pendapatku untuk imam dan makmum hendaklah mereka berzikir selepas selesai solat. Hendaklah mereka mensenyapkan zikir kecuali jika imam mahu dipelajari daripadanya (mengajar bacaan-bacaan zikir tersebut), maka ketika itu dikuatkan zikir. Sehinggalah apabila didapati telah dipelajari daripadanya, maka selepas itu hendaklah dia perlahankan.

Adapun hadith Ibn ‘Abbas di atas, al-Imam al-Syafi’i menjelaskan seperti berikut:
وأحسبه إنما جهر قليلا ليتعلّم الناس منه وذلك لأن عامة الروايات التي كتبناها مع هذا وغيرها ليس يذكر فيها بعد التسليم تَهليلٌ ولا تكبير، وقد يذكر أنه ذكر بعد الصلاة بما وصَفْتُ، ويذكر انصرافَه بلا ذكر، وذكرت أمُّ سلمةَ مُكْثَه ولم يذكر جهرا، وأحسبه لم يَمكُثْ إلاّ ليذكرَ ذكرا غير جهْرٍ. فإن قال قائل: ومثل ماذا؟ قلت: مثل أنه صلّى على المنبر يكون قيامُه وركوعُه عليه وتَقهْقَرَ حتى يسجدَ على الأرض، وأكثر عمره لم يصلّ عليه، ولكنه فيما أرى أحب أن يعلم من لم يكن يراه ممن بَعُد عنه كيف القيامُ والركوعُ والرفع. يُعلّمهم أن في ذلك كله سعة. وأستحبُّ أن يذكر الإمام الله شيئا في مجلسه قدر ما يَتقدم من انصرف من النساء قليلا كما قالت أم سلمة ثم يقوم وإن قام قبل ذلك أو جلس أطولَ من ذلك فلا شيء عليه، وللمأموم أن ينصرفَ إذا قضى الإمام السلامَ قبل قيام الإمام وأن يؤخر ذلك حتى ينصرف بعد انصرافِ الإمام أو معه أَحَبُّ إلي له.
Aku berpendapat baginda menguatkan suara (zikir) hanya untuk seketika untuk orang ramai mempelajarinya daripada baginda. Ini kerana kebanyakan riwayat yang telah kami tulis bersama ini[2] atau selainnya, tidak menyebut selepas salam terdapat tahlil [3] dan takbir. Kadang-kala riwayat menyebut baginda berzikir selepas solat seperti yang aku nyatakan, kadang-kala disebut baginda pergi tanpa zikir. Umm Salamah pula menyebut duduknya baginda[4] (selepas solat) tetapi tidak menyebut baginda berzikir secara kuat. Aku berpendapat baginda tidak duduk melainkan untuk berzikir secara tidak kuat.
Jika seseorang berkata: “Seperti apa?”[5]. Aku katakan, sepertimana baginda pernah bersolat di atas mimbar, yang mana baginda berdiri dan rukuk di atasnya, kemudian baginda undur ke belakang untuk sujud di atas tanah. Kebanyakan umur baginda, baginda tidak solat di atasnya (mimbar). Akan tetapi aku berpendapat baginda mahu agar sesiapa yang jauh yang tidak melihat baginda dapat mengetahui bagaimana berdiri (dalam solat), rukuk dan bangun (dari rukuk). Baginda ingin mengajar mereka keluasan dalam itu semua.
Aku suka sekiranya imam berzikir nama Allah di tempat duduknya sedikit dengan kadar yang seketika selepas kaum wanita pergi. Ini seperti apa yang Umm Salamah katakan. Kemudian imam boleh bangun. Jika dia bangun sebelum itu, atau duduk lebih lama dari itu, tidak mengapa. Makmum pula boleh pergi setelah imam selesai memberi salam, sebelum imam bangun. Jika dia lewatkan sehingga imam pergi, atau bersama imam, itu lebih aku sukai untuknya.

Ini adalah pendapat Imam Syafi'e, imam mazhab kita. Oleh itu perlu dibetulkan salah faham sesetengah pihak yang mendakwa sesiapa yang tidak berzikir secara kuat selepas solat ialah orang-orang yang tidak mengikut Mazhab al-Syafi’i. Ternyata bahawa dakwaan mereka adalah salah, bahkan menunjukkan pihak yang mendakwa itu tidak meneliti kitab al-Imam al-Syafi'i. Saya tidak mengatakan tidak boleh untuk berzikir/doa secara jamaah, bahkan pernah Nabi SAW berdoa secara berjemaah seperti dalam hadith Anas [6] yang diriwayatkan dalam al-Bukhari, cuma ia bukan dibuat selepas solat secara lazim. Bagi mereka yang ingin melakukannya, mereka haruslah memastikan agar tidak menguatkan suara ketika berdoa sekiranya masih terdapat lagi ahli jemaah yang sedang menunaikan solat. Ini kerana ia akan mengganggu mereka dan mengganggu orang yang bersolat ialah satu perkara yang haram secara pasti.[7]

Sebarang cadangan atau kritikan adalah dialu-alukan.

Wallahu'alam.

Rujukan/nota :
[1] - al-Syafi'i, Mausu‘at al-Imam al-Syafi'i: al-Umm (موسوعة الإمام الشافعي), jld. 1, m.s. 353.
[2] - Maksud al-Imam al-Syafi'i ialah apa yang beliau tulis dalam al-Umm tersebut dalam bab Kalam al-Imam wa Julusihi Ba’d al-Salam (كلام الإمام وجلوسه بعد السلام) yang mana beliau telah mengemukakan beberapa hadith yang menunjukkan baginda tidak menguatkan suara ketika zikir selepas solat.
[3] - Tahlil maksudnya ialah ucapan: لا إله إلا الله
[4] - Maksud al-Imam al-Syafi'i ialah hadith riwayat Umm Salamah yang beliau sebutkan pada awal bab berkenaan:
كان رسول الله  صلى الله عليه وسلم  إذا سلم من صلاته قام النساء حين يقضي تسليمه ومكث النبي  صلى الله عليه وسلم في مكانه يسيرا قال ابن شهاب فنرى مكثه ذلك والله أعلم لكي ينفذ النساء قبل أن يدركهن من انصرف من القوم
Adalah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam apabila memberi salam dari solat maka kaum wanita akan bangun apabila baginda selesai memberi salam. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pula duduk sekejap ditempatnya selepas solat. Kata Ibn Syihab: Kami berpendapat – Allah lebih mengetahui – tujuannya agar kaum wanita dapat pergi sebelum kaum lelaki keluar. Hadith ini turut diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, al-Nasai, Abu Daud, Ibn Majah dan lain-lain.
[5] - Maksudnya, apakah contoh perkara yang pernah baginda lakukan hanya seketika kemudian setelah orang ramai mempelajarinya baginda tinggalkan. al-Imam al-Syafi'i menyebut contoh ini untuk menyokong pendapat beliau bahawa zikir selepas solat secara kuat hanya dilakukan oleh baginda pada seketika sahaja, kemudian zikir baginda berzikir secara perlahan.
[6] - Hadith yang diriwayatkan oleh Anas bermaksud : "Telah datang seorang lelaki daripada kalangan orang kampung kepada Rasulullah SAW pada hari Jumaat, lalu berkata : Ya Rasulullah, musnahlah binatang, musnahlah keluarga, musnahlah manusia. Maka Baginda terus mengangkat tangannya lalu berdoa, dan orang ramai juga mengangkat tangannya lalu berdoa bersama Nabi SAW" (Riwayat Bukhari) Shahih Bukhari, no. 983, 1/384
[7] - Zaharuddin Abd. Rahman, Formula Solat Sempurna, Cetakan April 2008, ms. 108-111