Saturday 30 July 2011

Ramadhan dan apa dari kita..

Assalamualaikum..

Ramadhan bakal menjeguk kita lagi. Atau lebih tepat kita bakal mengunjungi Ramadhan lagi. Ya, kita bakal mengunjungi Ramadhan sebab dengan umar kita yang panjang ini, dapatlah kita bersinggah dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Jika tidak, kita akan terbaring dalam "rumah" 6kaki dibawah tanah.

Dengan Ramadhan mengunjung kita, maka eloklah jika kita merujuk kepada ayat al-Quran yang mewajibkan kita untuk berpuasa. Allah SWT berfirman :
"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan keatas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa"
(Surah Al-Baqarah, 2:183)

Maka telah termaktub akan perintah untuk kita berpuasa. Perintah kita untuk puasa telah bermula pada tahun kedua hijrah. Maka perintah yang telah berlaku lebih dari 1400 tahun ini terus berjalan. Dari zaman Nabi, Para Sahabat, tabi'in dan sehingga kini. Orang Islam menyambut Ramadhan dengan pelbagai gelagat dan perasaan. Bagi para sahabat, mereka menyambut Ramadhan dengan gembira. (Tapi tak ada la para sahabat pegi bakar mecun dan baling sana-sini !!) Amal ibadat ditingkatkan kerana mendapat ganjaran yang besar. Setiap amalan diberikan gandaan pahala sepuluh kali ganda. Ada yang mengatakan paling kurang sepuluh dan boleh menjadi seberapa banyak ganda pahala, terpulang kepada amal apakah, ikhlas dan sebagainya. wallahu'alam. Terpulanglah kepada Allah swt untuk memberikan gandaan itu. Yang penting, kita beramal. Dan puasa, satu-satunya amalan yang dilakukan untuk Allah SWT. Firman Allah SWT dalam satu hadis qudsi:
"Setiap amal anak Adam adalah bagi dirinya, kecuali puasa maka ia adalah untuk Aku dan Aku sendiri akan membalasnya. Dia (anak Adam) meninggalkan makanan kerana Aku dan meninggalkan minuman kerana Aku dan meninggalkan kenikmatan kerana Aku dan meninggalkan isterinya (tidak bersetubuh) kerana Aku."
(Sanad Shahih: Dikeluarkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Shahihnya - hadis no: 1897 dan sanadnya dinilai shahih oleh Muhammad Mustafa al-'Azmi)

Jadi, amalan puasa itu ialah hak kita kepada Allah SWT. Jadi, hendaklah ia dilakukan dengan penuh ketaatan dan dengan segala ketetapan yang telah digariskan. Apa yang dilarang hendaklah dijauhi dan apa yang tidak dilarang, janganlah kita pula hendak menghalang. Seperti kita mengambil hak Allah swt pula jika kita berbuat demikian. Allah SWT berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas"
(Al-Maidah,5:87)

Perkara pertama dalam puasa ialah niat. Niat itu adalah lintasan hati/azam hendak melakukan sesuatu perkara. Maka niatlah untuk berpuasa. Bagi mazhab Syafi'e, kita hendaklah niat pada setiap pagi (waktu sahur) bagi setiap hari kita berpuasa. Maka, setiap kali hendak bersahur, hendaklah kita berniat untuk berpuasa. Namun, jika kita bimbang akan terlupa untuk niat pada keesokannya mungkin kerana bimbang tidak terbangun untuk bersahur, maka bolehlah kita berniat apabila berbuka puasa/selepas berbuka/sebelum tidur. Jika anda mahu, anda boleh menggunapakai qaul mazhab Malik untuk berniat puasa sebulan di awal bulan Ramadhan. Mungkin muncul satu persoalan kebiasaan, jika kita bersahur tetapi pada tengah harinya baru kita teringat kita tidak berniat sepenuhnya seperti "sahaja aku berpuasa pada keesokan hari pada bulan ramadhan kerana Allah Taala", puasa anda masih lagi sah. Kerana anda telah bersahur. Anda bersahur kerana anda hendak berpuasa, maka anda telah berniat untuk puasa. Niat tidak perlulah dihadirkan dengan ayat yang penuh dan bahasa melayu yang betul tatabahasanya atau dengan menyebutnya (itu sudah menjadi lafaz niat!). Islam itu mudah, lalu jangan kita mempayahkannya. Jangan menjadi mereka yang melampaui batas!!

Berkenaan dengan sahur, maka bertemulah kita dengan istilah yang disebut sebagai IMSAK. Sebenarnya, imsak itu adalah antara waktu yang masih dibolehkan kita untuk bersahur. Sesetengah daripada kita menganggap bahawa apabila imsak, maka tidak bolehlah kita makan dan minum lagi. Ini adalah salah dan bersimpang dari maksud puasa yang sebenarnya. Puasa bermaksud : menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari. Maksud terbit fajar ialah masuknya waktu subuh. Maka, apabila masuk waktu subuh, hendaklah kita berhenti makan kerana telah masuk waktu untuk berpuasa. Hal ini akan saya jelaskan lagi dalam entri yang akan datang.

Jadi, maka bermulalah puasa. Hindari dari perkara-perkara yang membatalkan puasa. Penuhkan amal-amal soleh dalam amalan seharian. Cubalah untuk mengkhatamkan al-Quran dalam sebulan. Dengan 4 helai selepas selesai solat fardhu. Maka, kita akan dapat mengkhatamkan al-Quran. InsyaAllah. Cubalah beli dan baca buku-buku yang berkaitan dengan Islam dan yang berilmiah. Tambahkan ilmu kita dengan ilmu yang sebenarnya. Janganlah kita lalui Ramadhan dengan ilmu puasa yang kita belajar semasa sekolah rendah/menengah dahulu!! Laluilah Ramadhan dengan ilmu yang sentiasa bertambah. Puasalah dengan puasa nabi, mengikut segala sunnah baginda. Barulah ramadhan itu akan lebih bermakna.

"Jibril datang kepadaku dan berkata, "Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu telah habis dan dia tidak mendapat ampunan, maka jika mati dia masuk neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan : Amin! Aku pun mengatakan: Amin!"
(Riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam Sahihnya)

Jadikan Ramadhan ini tempat kita mengumpul segala amal kebaikan untuk menampung segala dosa-dosa kita yang lalu. Mana tahu, mungkin dalam Ramadhan ini, kita diberi ampunan untuk segala dosa-dosa kita selama ini sejak dari kita baligh. Allah itu Maha Kuasa dan Maha Pengampun. Jadikan Ramadhan ini Ramadhan yang bermakna untuk kita. Mungkin kita berketemu dengan lailatul qadr pada kali ini setelah seluruh usia kita masih belum ketemu lagi.

Peluklah Ramadhan ini dengan seeratnya. Penuhkan dengan amal dan taqwa. Mudah-mudahan kita akan keluar daripada Ramadhan dengan menjadi insan yang sebenarnya. InsyaAllah.

Sekian, wallahu'alam.