Tuesday 3 May 2011

Bantu...

Assalamualaikum..

Pernah tak kita nampak seseorang yang ambil wudhu atau dalam bahasa pasar air sembahyang tak meliputi dengan sempurna anggota wudhu atau ambil wudhu tak rata? Pernahkah kita melihat seorang yang solat tiada tama'ninahnya, solat seperti burung belatuk? Atau seorang yang datang dan tanpa sengaja 'melantik' imam baru sedangkan ada imam yang sedang mengimamkan solat pada waktu itu? Atau kita datang kepada kumpulan kawan2 kita yang sedang hangat "bercerita" dan kita menamatkan episod "cerita" tersebut?




Ini adalah satu masalah yang agak besar yang dihadapi oleh sebahagian besar oleh kita. Kesanggupan melihat saudara-saudara kita cacat amalnya atau tidak sah terus amal solehnya kerana sikap "kubur masing-masing". Kepada rakan-rakan sekalian, mesti anda semua pernah terbaca paling kurang sekali dalam hidup anda akan ayat ke-10 surah Al-Hujurat dan Surah At-Tahrim ayat ke-6. Surah Al-Hujurat, ayat ke-10 memberitahu kita bahawa setiap mukmin itu adalah bersaudara dan damaikanlah antara saudara kita yang bertelagah. Ada dua pesanan dalam ayat ini. Pesanan pertama adalah antara muslim itu adalah bersaudara. Bersaudara dari segi agama. Masing-masing mempunyai aqidah Lailahaillallah Muhammadur Rasulullah, ALLAH sebagai TUHAN dan NABI MUHAMMAD sebagai RASUL ALLAH. Pesanan kedua ialah untuk mendamaikan perbalahan antara muslim. Dalam Surah At-Tahrim, ayat ke-6 pula diberitahu kepada kita untuk menjaga diri kita dan ahli keluarga daripada api neraka yang mana dalamnya dipenuhi dengan batu dan dijaga oleh malaikat.

Jadi, saya dengan ini sukalah untuk mengaitkan dua ayat ini. Seorang muslim itu adalah saudara kita walau macam mana sekalipun. Walau dia berasal dari keturunan India, mahupun Jawa ataupun China. Tak percaya? Baiklah, cuba bayangkan atau jika payah sangat ambil pensel atau pen dan kertas dan buat carta aliran keluarga. Datuk, yang atas lagi moyang, atas lagi dan lagi dan lagi dan lagi. Macam kajian tempatan pula kan? Last sekali mesti akan jumpa Adam dan Hawa. (Agak mustahil nak dapat semua so, skip pergi atas sekali). Adam dan Hawa adalah great great great (mungkin 10000x great) grandfather dan grandmother kita semua. Jadi, tak kira anda berkulit putih melepak seperti orang putih atau hitam macam negro, kita tetap keluarga, saudara. Bau-bau bacang gitu. Jadi, ada betulnya bila disebut untuk menjaga diri dan keluarga dari api neraka.



Peristiwa ini berlaku pada minggu lepas di Masjid Muhammadiya, Barlane Road, Davangere, India. Tempat saya solat Jumaat setiap minggu. Saya duduk dekat dengan tempat wudhu. Dalam khusyuk mendengar khutbah yang saya tak faham apa pun (sebab dia bagi khutbah dalam bahasa Urdu) saya terlihat akan 3 orang pemuda dalam lingkungan 20-an sedang ambil wudhu. Seorang ni (bagi nama kat dia A) sedang ambil wudhu. Kawannya, B dan C pun ambil wudhu juga. Mereka ambil wudhu sama-sama. Basuh tangan bersama. Basuh muka bersama. Masa basuh telinga, A tegur B. Dia tepuk bahu B dan tunjuk cara basuh telinga. B pun buat. Tak rata sepenuhnya. A pun memegang telinga B dan menunjukkan cara membasuh telinga! Saya terkejut. Sampai macam tu dia sayangkan saudara dia, membetulkan cara ambil wudhu. Sampai pegang telinga. Kita ada macam tu? Kalau ada pun setakat tunjuk dekat telinga sendiri. Ulang dua tiga kali. Lepas tu, apa nak jadi dekat kau lantak la.

Contoh seterusnya ialah fenomena setiap kali berkunjung solat di masjid di Davangere. Mereka akan pastikan saf dipenuhkan dan dibetulkan. Saf adalah rapat. Rapat sampai kaki melekat kepada kaki jemaah disebelah. Pesanan kepada anda semua, jangan cuba bawa lari kaki sebab kaki mereka akan "mencari" kaki anda. Saf yang lurus dan penuh adalah salah satu menjamin kesempurnaan solat berjemaah. Di Malaysia adalah berbeza. Dah iqamah nak solat, tak nak penuhkan saf depan. Kiri kanan tak dilihat, imam bertakbir, terus tangan diangkat. Jadilah saf bengkang-bengkok. Kalau ada ruang kat depan masa solat (sebab ada makmum terbatal wudhu atau ada makmum bergerak ke saf depan), kebanyakan dari kita duduk saja dalam saf kita. Tak bergerak. Kalau bergerak pun setapak, demi setapak. Dah la setapak macam budak baru pandai  berjalan. Maka lompong saf-saf yang ada.


Pernah tengok ada orang yang "melantik" imam baru sedangkan ada imam yang sedang mengimamkan solat? Apa tindakan anda? Kebanyakan orang akan melihat dan melihat. Tak ada yang ingin pergi menegur. Imam kedua pula terus menjadi imam dengan tidak sah akan "keimamamannya". Perlulah anda lihat sekeliling samada ada imam pada masa itu atau tidak. Yang "dilantik" menjadi imam haruslah peka samada ada imam atau tidak semasa dia "dilantik". Kalau sudah ada imam dan dia "dilantik", maka abaikan "lantikan" itu. Juga kepada yang datang lewat untuk solat berjemaah, bantulah yang terlewat datang solat berjemaah dengan berjemaah dengan dia sekali. Bantulah dia mengecap pahala 27 kali ganda (sesetengah meriwayatkan 25). Anda pun dapat pahala sebab bantu dia dapat pahala berganda. Kan dapat pahala lebih.

Kadang-kadang anda terserempak dengan kawan-kawan serta sahabat handai sedang "berbincang" mengenai keburukan orang lain yang sememangnya dikenali oleh mereka setempat. Maka apa tindakan anda? Kebanyakan mesti menyertai sama "halaqah" untuk mengumpul modal sebagai bekalan ke neraka. Manakan tidak. Perbincangan terutama mengenai orang yang kita banyak modal untuk "dikongsi bersama". Jadi, sama-samalah berjalan menuju ke neraka yang dicintai. Ada pelbagai cara nak menghentikan perkara tersebut dari terus berlaku. Janganlah dikeluarkan terus ayat-ayat al-Quran atau hadith-hadith. Tak pasal-pasal kena flying kick tak pun paling kurang flying shoes. Pergi dengan pendekatan psikologi. Cuba pergi masuk "halaqah" tadi dan cuba tukar topik. Tak pun cuba cakap tentang kebaikan si mangsa umpatan. Kalau paling lemah iman, berlalulah dari majlis tersebut dan bukannya berdiam diri dan menadah telinga kerana ia termasuk dalam kategori mendengar umpatan.

Apa yang saya nak cuba sampaikan kepada anda semua ialah kita membantu saudara kita daripada kesalahan kecil mahupun besar. Kadang-kadang bukan mereka sengaja membuat salah, tetapi mereka tidak tahu. Maka sampaikan kepada mereka apa yang mereka tidak tahu. Apa yang disampaikan hendaklah daripada Rasulullah SAW. Ada hadith Rasulullah SAW menyebut "Sampaikanlah dariku walau satu ayat". Sampaikan biarlah dengan berhikmah iaitu dengan menerangkan untuk memahamkan si penerima nasihat dan bukannya menghukum atau memarahi. Bantulah saudara kita kepada kebaikan. InsyaAllah kita akan dibantu oleh ALLAH pula selepas ini jika menghadapi kesulitan.

Wallahua'lam..

No comments:

Post a Comment