Thursday 9 June 2011

Disebalik Salam.

Assalamualaikum,

Itulah kalimah pembuka kata dalam suatu ucapan. Itu jugalah kalimah yang diucapkan oleh sesama muslim apabila bertemu dan berpisah. Kalimah itulah yang diucapkan apabila memasuki rumah. Tetapi adakah kita benar-benar menghayati akan maksud yang tersirat disebalik kalimah itu? Adakah kalimah itu nilainya hanya pada untuk mengenalkan diri atau sebagai pembuka kata?




Masih teringat lagi semasa kecil, ibu bapa mengajar kita untuk memberi salam setiap kali masuk ke dalam rumah samada apabila selepas balik dari sekolah, mahupun selepas balik bermain ataupun apabila hendak turun dari rumah ke sekolah. Bagi mereka yang ke sekolah asrama, pastinya senior akan mengingatkan kita untuk memberi salam apabila bertemu dengan mereka yang lebih senior. Dan pastinya akan timbullah salam berbagai versi akibat daripada kependekkan perkataan tertentu dan menyambung kalimah. Daripada "assalamualaikum abe" kepada "akumbe" dan juga "kumbe" (sila ambil perhatian, saya bersekolah di Kelantan dan sila baca dengan loghat Kelantan/budu). Hal ini terjadi disebabkan kita tidak menghayati dan memahami apakah maksud disebalik salam itu.

Amalan memberi salam ini ada disarankan oleh baginda Rasulullah SAW dalam satu hadith baginda yang bermaksud :
Dari Abdullah bin 'Amr bin Al 'Ash ra bahawasanya ada seseorang bertanya kepada Rasulullah SAW : " Bagaimanakah Islam yang baik itu?" Beliau menjawab : "Yaitu kamu memberi makanan, dan mengucapkan salam baik kepada orang yang telah kamu kenal maupun orang yang belum kamu kenal". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam memberi salam, hendaklah kita memberi salam kepada Muslim samada kita kenal atau tidak. Dengan memberi salam kepada mereka yang kita kenal mahupun kepada yang kita tidak kenal, maka dengan secara langsung kita menyebarluaskan salam dan secara tidak langsung kita dapat menjalinkan ukhuwah dan menjadikan rasa sayang kepada muslim lain wujud. Hal ini disebutkan dalam suatu hadith yang lain :
Dari Abu Hurairah ra. berkata, Rasulullah SAW bersabda : "Kamu sekalian tidak akan masuk syurga sebelum beriman, dan kamu sekalian tidaklah beriman sebelum saling sayang-menyayangi. Mahukah aku tunjukkan sesuatu yang apabila kamu kerjakan nescaya kamu sekalian akan saling sayang-menyayangi? Iaitu menyebarluaskan salam di antara kamu sekalian". (Riwayat Muslim)
Secara automatik, apabila kita memberi salam kepada orang lain, kita akan saling menyayangi dan seterusnya menjadikan kita beriman dan nescaya akan membawa kita kepada syurga yang diimpikan.

Dalam memberi salam dan menjawab salam, ada adab-adab tertentu. Antaranya ialah satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra. yang bermaksud: "Orang yang berkenderaan memberi salam kepada orang yang berjalan; orang yang berjalan memberi salam kepada orang yang duduk; dan yang sedikit memberi salam kepada yang banyak" (Riwayat Bukhari dan Muslim). Hadith ini sangat jelas maksudnya kepada kita akan keutamaan mereka yang patut memulai memberi salam.

Dan dalam menjawab salam, ada juga adabnya. Hendaklah kita membalas salam dengan ungkapan yang sama baik atau dengan yang lebih baik. Hal ini diungkapkan oleh Allah SWT dalam al-Quran :

"Apabila kamu sekalian dihormati dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik atau balaslah penghormatan itu dengan yang serupa" (An-Nisa', 4:86)

Jawablah salam itu dengan lebih baik atau serupa. Jika diucapkan kepada kita "Assalamu'alaikum", maka balaslah dengan "Wa'alaikummusslam warahmatullah" atau "Wa'alaikummussalam".

Memberi salam adalah satu bab, menghayati ungkapan salam itu satu bab lain tetapi hendaklah kedua-dua bab ini sentiasa bersama. Ungkapan salam bukan setakat mendoakan kesejahteraan dan keselamatan kepada si penerima salam tetapi, dengan mengucapkan salam kita mengakui akan ke'muslim'an seseorang itu. Secara langsung, maka dia akan mendapat hak-hak seorang muslim. Kita tidak boleh menyakiti dia. Kita tidak boleh menghinanya. Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab, ayat 58 yang bermaksud: "Dan orang-orang yang beriman baik laki-laki mahupun perempuan tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata".

Dalam suatu hadith, Rasulullah SAW bersabda : "Seseorang itu cukup dianggap jahat bila ia mengejek saudaranya sesama Muslim" (Riwayat Muslim).

Hal ini sering dilupakan oleh kita kini. Penegasan saya ialah, dengan memberi salam, kita mendoakan seseorang itu dengan kesejahteraan, kebaikan dan kita mengiktiraf akan seseorang itu sebagai saudara Muslim dan pada masa yang sama kita memastikan dia mendapat hak seorang Muslim. Dia tidak disakiti oleh kita. Kita tidak menganiaya dia. Apalah makna kita mendoakan kesejahteraan kepada saudara kita tetapi  tiba-tiba kita menyakiti saudara kita itu. Ini menunjukkan kita tidak menghayati akan maksud sayang-menyayang sesama muslim dan akan maksud salam itu.

Mungkin sebahagian antara kita akan berkata,

"Alah, aku bergurau aje.. Bukan ada niat nak sakiti atau menyinggung dia pun..".

Tetapi kita lupa bahawa bergurau ada batasannya. Jagalah dalam perkataan yang keluar dari mulut kita kerana ia mungkin akan menyakiti hati teman muslim yang lain. Mungkin hati sahabat kita tersinggung dan dia tidak memberitahu kepada kita. Maka disitu kita telah bersalah kepada dia.

Semoga kita sentiasa menghayati akan kalimah salam dan apa yang ada disebaiknya agar kita dapat menghayati roh Islam itu. Mungkin agak payah bagi sebahagian daripada kita untuk mengubah apa yang biasa selama ini, tetapi berubah itu tidak mustahil.

Semoga kita sentiasa berada dalam rahmat dan penjagaan Allah SWT.

Wallahu'alam.


Kita adalah kaum yang Allah muliakan kita dengan Islam, jika kita cuba mencari kemuliaan selain daripada Islam kita akan dihina oleh Allah - Saidina Umar Al-Khattab





No comments:

Post a Comment