Monday 14 February 2011

Mau ada di hati itu penting..

"Kita tak patut nak bersungguh sangat dengan perarakan maulidul rasul tu. Daripada berpanas bersesak baik kita duduk saja kat rumah. Nak ingat Rasulullah pun ada banyak caranya"

"Sambutan maulidul rasul ni bidaah. Tak ada baiknya dibuat acara tu. Duit pun habis, silap-silap dosa marah-marah jalan jam dan dosa lain pula dapat"

"Saya tak nak sambut maulidul rasul pada hari tu. Kan dan dijelaskan sebahagian ulama sirah, maulid jatuh pada 9 rabiulawal, bukan 12 rabiulawal."

Antara dialog yang mungkin kedengaran bersempena dengan kedatangan Maulidul rasul. Mungkin ada yang kelihatan ekstrim, dan ada yang kelihatan mengambil "jalan selamat" daripada permasalahan yang timbul.Maulid Muhammad bin Abdullah sangat dinantikan oleh hampir semua insan. Ada dengan bersebab ingin menghayati akan cinta kepada Rasulullah SAW, ada yang ingin menikmati cuti di hari biasanya hari bekerja. dan ada yang menantikan tanggal itu dengan harapan perkara-perkara "bidaah" itu dapat dihapuskan.

Disini saya ingin menukilkan sedikit. 

Memang benar, sebahagian ulama berpendapat bahawa 12 Rabiulawwal itu bukanlah tarikh lahir baginda SAW. Mereka berpendapat bahawa tarikh sebenar adalah pada 9 Rabiulawwal, hari Isnin. Hal ini turut terkandung dalam kitab sirah Rasulullah SAW, Ar-Raheeq Al-Makhtum. Perjelasan mengenai hal ini dapat di baca di sini.

Pemikiran sebahagian insan yang mengaitkan segala perbuatan yang baru dan tiada dalam perbuatan para sahabat adalah bidaah mestilah berlandaskan asas. Patutlah kita selami dahulu akan pengertian bidaah itu dengan mendalam sebelum melekatkan "cop" bidaah kepada sesuatu pekerjaan. Dalam konteks menyambut Maulidul rasul, harus kita aplikasikan situasi semasa dan semasa zaman Rasulullah. Di zaman Rasulullah dan para sahabat, mereka dapat berjumpa secara langsung dengan Rasulullah SAW. Kecintaan terhadap kekasih Allah itu wujud dengan peluang bagi mereka untuk bertemu secara "live" dengan Rasulullah SAW. Namun, bagi kita yang umat pengakhiran ini, kecintaan itu dapat disuburkan dengan mengingati akan kelahiran Muhammad SAW dan sirah baginda dan peluang itu digunakan dengan sambutan Maulid Nabi SAW.

Sesungguhnya pada saat ini, yang penting bukanlah tarikhnya tepat atau tidak. Ianya bidaah atau sunnah. Yang utama ialah kita dapat mengambil sesuatu dari apa yang dikatakan Maulid Nabi yang mana majoriti inginkan kecintaan kepada Rasulullah SAW itu subur dalam diri setiap insan yang bergelar Muslim. Sheikh Habib Ali Al-Jufri mengulas berkenaan dengan isra' mikraj, bahawa apa yang penting adalah apa yang terkandung disebalik isra' dan mikraj, tarikh itu sebagai tambahan kepada garis masa. Apa yang hendak disampaikan itu lebih utama.

Ingatlah bahawa Rasulullah SAW sentiasa rindu kepada kita, insan yang beriman yang belum ada. Tinggi sungguh cinta baginda kepada kita sehingga kita akan menangis jika kita hayati pengorbanan baginda untuk Islam tersebar di bumi Allah kepada kita.

Yang penting bukanlah kita pergi berjalan berbatu-batu sehingga keluar peluh masam.
Yang penting bukanlah kita memperkatakan ianya sunnah atau bidaah.
Yang penting bukanlah kita fikir ianya releven atau tidak untuk berkumpul di stadium.

Yang penting ialah insan yang bernama Muhammad bin Abdullah itu ada dalam hati kita.
Yang penting ialah Islam yang dibawa itu tersemat dalam diri kita.
Yang penting ialah cinta kepada Allah SWT, Muhammad SAW dan Islam itu subur dalam jiwa kita.

Tidak sempurna iman sesiapa di kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian manusia” [riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa’ie dan Ibn Majah]

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment